Fikir-fikirkanlah
Menangislah kerana keinsafan
Siapa yang tak pernah menangis
Dihujung setiap ketawa dan lupa
Sesungguhnya DIA mengetahui segala isi hati...
Fikir-fikirkanlah
Menangislah kerana keinsafan
Siapa yang tak pernah menangis
Dihujung setiap ketawa dan lupa
Sesungguhnya DIA mengetahui segala isi hati...

Harus kita berdialog pada diri sendiri
apakah yang telah kita sumbangkan?
untuk negara berbilang bangsa ini
yang menjadi rakyat dan umat
setelah lebih dua dekad bebas dari
penjajah Inggeris terusir
.
Apakah sumbangan kita cuma keluhan?
titik-titik peluh untuk cari makan!
Bagi mengelakkan diri berperut kosong
apakah pengorbanan yang kita lakukan?
untuk mendaulatkan penggunaan bahasa ibunda
adakah cukup setakat untuk dibahasapasarkan?
pada nama-nama jalan, tembok-tembok kedai
tetapi tidak menghayati untuk perpaduan
dan cara hidup berbudaya tulin
.
Bagaimana pula dengan peranan anda?
untuk menyamaratakan sebaran kuih ekonomi
supaya semua kaum merasa puas dan adil
wajarkah cuma mampu jadi pembeli tetap?
tetapi tak sanggup jadi penjual terbilang?
Mengapa tidak berurus di kedai bangsa sendiri?
malah kian membuncitkan perut kaum lain
yang telah ribuan kilometer meninggalkan kita?
Meskipun kemerdekaan tercapai
dengan diplomasi dan di atas dulang emas
tidak dengan tumpahan darah pejuang
yang bergelimpangan disambar peluru
atau lancaran perang gerila
dan perang terbuka di medan perjuangan
seperti di negeri benua Afrika dan Asia
tapi wajarkah kita membiarkan diri?
melihat perajurit terkorban dan berkaparan
di sempadan tiap detik dan ketika
.
demi kebahagiaan anda untuk terus hidup
tapi anda terus-terusan bergoyang kaki
sedangkan peribumi jatuh bangun
membangun maruah dan cita-cita
mempertahankan identiti yang kian luntur
di tengah-tengah gelombang masa
dan pergolakan dunia yang kian tua ini